Khamis, 13 Ogos 2009

Sejarah Pengasas / Perkembangan Homeopati

SEJARAH PENGASAS DAN PERKEMBANGAN
HOMOEOPATI

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

Christian Friedrich Samuel, iaitu nama sebenar yang diberikan kepada Dr. Samuel Hahnemann, merupakan seorang ahli perubatan berbangsa German yang di lahirkan di Meissen, German Timur pada tahun 1755. Melalui bimbingan ayahnya, Christian Hahnemann, beliau membesar sebagai seorang yang berdisiplin. Semasa menerima pendidikan tinggi di Meissen, beliau dianggap seorang pelajar yang cerdas dan pintar. Kemudian pada tahun 1775, beliau memasuki Universiti Leipzig untuk mempelajari ilmu perubatan.
Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan universiti tersebut dan menetap di Vienna dan Transylvania. Di sana beliau mempelajari pelbagai bahasa sehingga beliau dapat menguasai bahasa Latin, Arab, Greek, Inggeris, Perancis dan Sepanyol, selain daripada bahasa ibundanya. Walaubagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian perubatannya di Universiti Erlangen di mana beliau telah dianugerahkan ijazah Doctor of Medicine pada 10 hb. Ogos 1779.
Dr. Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan di Hettstedt, iaitu sebuah perkampungan galian di Saxony. Sewaktu di Hettstedt, beliau merasa sedih dan kesal kerana tidak dapat memberi rawatan yang berkesan dan sempurna memandangkan keadaan hidup para pelombong serta keluarga mereka yang sangat susah. Lagipun, amalan perubatan pada waktu itu sangat mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan yang terpaksa melalui proses yang memeritkan pesakit sekalipun pembedahan itu tidak begitu perlu dan mendesak. Begitu juga, ubat-ubat berbahaya begitu mudah diberikan kepada pesakit-pesakit yang didapati sukar untuk disembuhkan. Perkara ini membuat Dr. Hahnemann bertambah yakin bahawa apa yang sebenarnya terjadi ialah ‘lebih ramai manusia mati disebabkan rawatan berbanding kerana penyakitnya.’
Sembilan bulan berikutnya, Dr. Hahnemann berpindah ke Dessau dan bekerja di Mohren Pharmacy. Farmasi tersebut dimiliki oleh seorang yang agak terkenal di kalangan masyarakat Dessau. Bersama pemilik farmasi itu, Dr. Hahnemann melibatkan diri dalam penyelidikan kimia yang kemudiannya menghasilkan Apothecaries Lexicon sebanyak 4 jilid. Di sini beliau bertemu dan terpikat dengan anak tiri pemiliknya yang bernama Johanna Kuchler yang berakhir dengan perkahwinan. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Henriette.
Semasa di Gommern, Dr. Hahnemann mula menceburi bidang penterjemahan untuk menampung perbelanjaannya. Pada tahun 1784, beliau telah melahirkan esei perubatan yang pertama bertajuk “Direction for Curing Old Diseases.” Di sini beliau menyarankan tentang perlunya kesihatan awam, udara bersih, tidur yang mencukupi, senaman rutin dan pemakanan yang seimbang. Beliau juga telah mencadangkan agar rumah-rumah dijarakkan di antara satu sama lain supaya cahaya matahari dan udara bersih dapat masuk dengan banyak.
Apabila beliau berpindah ke Dresden, Dr. Hahnemann menyambung pelajarannya dalam ilmu kimia dan perubatan di samping menterjemah pelbagai buku daripada bahasa Perancis, Inggeris, Latin dan Greek ke bahasa German. Sewaktu proses penterjemahan dilakukan, beliau mengambil kesempatan memberikan sedikit sebanyak komentar. Menerusi komen-komen beliau, lebih terserlah lagi betapa luas pengetahuannya dalam bidang kimia dan betapa berlainan pandangannya mengenai ahli farmasi sezamannya serta cara pemberian ubat-ubatan.
Ketika beliau sekeluarga pindah ke Leipzig pada tahun 1789, beliau merasakan amalan perubatan pada waktu itu sebagai kasar, tidak bertamaddun dan kurang berkesan. Pandangan ini menimbulkan kemarahan di pihak yang berada dalam profesion perubatan. Dengan itu, dalam jangka masa lima tahun kemudiannya, keluarga Hahnemann senentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Dalam saat-saat kesukaran inilah sistem perubatan baru yang dikenali sebagai “homoeopathy” mula berputik. Semasa Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku daripada bahasa Inggeris kepada bahasa German yang ditulis oleh Dr. William Cullen berjodol “A Treaties on Materia Medica,” beliau telah berdepan dengan sejenis ramuan - Cinchona (Peruvian Bark). Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah. Ia juga dikatakan pernah diguna bagi menyembuhkan Countess of Cuichon, iaitu isteri pembesar Peru.
Justeru didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat, Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos `Cinchona’ dengan tujuan untuk menguji kesan dan implikasinya. Setelah dicuba ramuan tersebut, beberapa semboyan utama mula menjelma. Kaki dan hujung jarinya bertukar menjadi sejuk, rasa mengantuk datang secara tiba-tiba, jantung dan denyutan nadinya semakin kencang dan tubuh beliau pula mula menggeletar. Kejadian ini berulang tiap kali dos `Cinchona’ diambil.
Takjub akan hasil eksperimen yang tak disangka-sangka itu, terlintas di fikirannya akan satu undang-undang tabii yang mungkin wujud. Undang-undang tersebut yang masyhur dengan nama `Undang-undang Seraksi’ menggariskan bahawa suatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh menghasilkan semboyan-semboyan yang serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Namun di peringkat awalnya, Dr. Hahnemann masih tidak begitu menghargai peri pentingnya penemuan tersebut.
Pada musim bunga tahun 1792, beliau memegang jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi penempatan orang kurang akal. Di sana beliau membantah cara layanan yang buruk yang diberikan kepada para pesakit. Sebaliknya, Dr. Hahnemann dengan jayanya telah menunjukkan cara layanan yang sepatutnya diberikan sehingga ada pesakit yang sembuh di tangan beliau.
Di samping itu, beliau masih meneruskan usaha penulisan tanpa henti sehingga tahun 1805. Dalam waktu yang sama, pada tahun 1796, beliau telah menulis sebuah essei, “New Principles for Ascertaining the Curative Powers of Drug,” yang diterbitkan di dalam Hufeland’s Medical Journal. Tahun inilah yang dikatakan sebagai tarikh lahirnya sistem perubatan homoeopati secara rasmi di mana kemudiannya Hahnemann kembali mengamalkan praktik perubatan di Leipzig, tetapi mengikut cara homoeopati.
Satu tragedi melanda Leipzig pada tahun 1799, iaitu merebaknya wabak demam scarlet. Dalam pada itu Dr. Hahnemann mendapati Belladonna sangat seraksi dengan semboyan demam scarlet. Beliau dengan penuh yakin memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam dos yang diperkecilkan dan ternyata ramai yang terselamat daripada demam scarlet. Sungguhpun saranan Dr. Hahnemann tentang penawar Belladonna dan pemberiannya dalam dos yang kecil menerima tentangan ramai, tetapi pada tahun 1838 kemudiannya kerajaan Saxon mengiktiraf Belladonna sebagai penawar bagi demam scarlet.
Dalam tahun 1810, karya Dr. Hahnemann yang terunggul, “Organon of Rational Medicine” diterbitkan. Tajuk buku tersebut kemudiannya diperbaharui dengan nama “Organon of the Healing Art.” Buku ini mengandungi rumusan-rumusan homoeopati sebagai kaedah yang rasional dan menjelaskan ayat demi ayat prinsip-prinsip seni kesembuhan yang ma’kul. Beliau menekankan bahawa kandungannya adalah hasil-hasil daripada pengalaman dan ujikaji yang hanya dirujuk kepada pengalaman dan ujikaji yang dilakukan, dan oleh itu kebenarannya hanya boleh ditolak oleh pengalaman yang berlawanan dan ujikaji juga.
Di dalam Organon inilah Dr. Hahnemann mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada “SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR” - atau “Let likes be cured with likes.” Di mana di dalamnya beliau juga telah memberikan definisi kesembuhan sebenar, iaitu:
“Setinggi-tinggi hemah dan tugas doktor itu ialah mengembalikan pesakit kepada sihat sebagaimana yang di kehendaki. Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan dengan jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawab serta paling tidak merbahaya menurut kaedah yang ma’kul.”
Sementara teras sains yang dianjurkan oleh Dr. Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri daripada Undang-undang seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos.
Kini Organon diiktiraf sebagai bahan rujukan utama dalam pengamalan homoeopati seluruh dunia. Ia telah berkali-kali diulang-cetak dan telah diterjemahkan ke dalam sepuluh bahasa termasuk bahasa Perancis, Hungary, Swedish, Rusia, Itali dan Sepanyol. Terjemahan dalam bahasa Inggeris telahpun mula didapati pada tahun 1833.
Dalam masa beberapa tahun, Hahnemann mengumpulkan beberapa orang doktor dan sahabat handai yang kejujuran dan kesihatan mereka boleh dipercayai dalam sebuah kesatuan. Kesatuan itu dikenali sebagai ‘the Provers Union.’ Ahli-ahli kesatuan ini kemudiannya mengambil risiko menguji khasiat penawar-penawar dari bahan kimia, akar kayu dan garam galian.
Mereka dipertanggung-jawabkan mencatat kesemua semboyan-semboyan yang timbul daripada “proving.” Antara penawar-penawar yang diujibuktikan termasuklah Aconite, Arnica, Belladonna, Ipecacuanha, Nux Vomica, Drosera dan Chamomilla. Kesemua hasil usaha ini telah dikeluarkan di dalam “Materia Medica Pura” yang pertama kali diterbitkan di Dresden pada tahun 1811. Buku tersebut siap keseluruhannya dalam enam jilid pada tahun 1821.
Di samping membicarakan tentang penawar-penawar homoeopati dan aplikasinya dalam merawat penyakit, beliau memberi penjelasan yang panjang lebar tentang pendekatan personal dalam rawatan homoeopati. Beliau juga untuk kesekian kalinya, sekali lagi menekankan tentang kesembuhan kekal yang hanya boleh didapati menerusi ‘penawar homoeopati dalam dos yang kecil’.
Malangnya penggunaan dos kecil ini telah membangkitkan kemarahan pembancuh-pembancuh ubat yang mengalami kerugian besar sejak ia diketengahkan. The Liepzig Guild telah bersepakat untuk memerangkap Dr. Hahnemann. Satu undang-undang Constitutiones Frederici II Imperatoris diluluskan bagi tujuan menghadkan kerja-kerja membancuh ubat khusus untuk orang-orang tertentu sahaja. Yakni, ia hanya boleh dilakukan oleh pembancuh-pembancuh ubat sahaja dan dengan itu para doktor dilarang daripada memberi ubat secara langsung kepada pesakit.
Dr. Hahnemann mendapati adalah mustahil bagi beliau untuk mematuhi undang-undang yang baru diluluskan itu kerana para pembancuh ubat sudah pasti akan membancuh dalam dos yang besar. Tindakan Dr. Hahnemann untuk tidak mematuhi undang-undang tersebut menyebabkan The Liepzig Guild mengemukakan aduan kepada Majlis Perbandaran. Lantas beliau dihadapkan ke mahkamah atas sebab melanggar undang-undang negeri.
Tekanan ke atas amalan homoeopati berlanjutan beberapa tahun. Banyak artikel yang memperkecilkan homoeopati disiarkan di dada akhbar dan di dalam jurnal perubatan. Agak ramai juga doktor-doktor homoeopati ditekan dan didakwa. Umpamanya, Dr. Karl Franz telah dipaksa agar bersara dan Dr. Christian Hornburg didakwa dan dipenjara sehingga beliau meninggal dunia tiga hari kemudiannya. Bahkan akhirnya Dr. Hahnemann sendiri meninggalkan Leipzig menuju Kothen.
Meskipun Dr. Hahnemann tidak gemar tinggal di Kothen, namun Duke Ferdinand telah membenarkan beliau mengamal homoeopati. Malahan Duke sendiri menjadi pesakit beliau. Cita-citanya berjaya dan amalan perubatannya semakin maju. Perkembangan terbaru ini terus tersebar dan ramai daripada sahabatnya yang telah mula mengamal homoeopati saling berutus surat dengan beliau untuk bertukar pendapat. Pada waktu itu, usia Dr. Hahnemann telah menjangkau 66 tahun.
Sebuah lagi buku utama yang dikarang oleh Dr. Hahnemann ialah “The Chronic Diseases, Their Peculiar Nature and Their Homoeopathic Cure.” Jilid pertama buku tersebut mengembangkan idea-idea mengenai prinsip-prinsip dan amalan homoeopati serta pendekatan holistiknya. Sementara jilid kedua menceritakan tentang kuasa hayat sebagai kuasa penyembuhan tubuh manusia. Dalam penekanannya tentang kuasa hayat, beliau telah memperkenalkan aspek-aspek metafizik homoeopati dan lantas memperkenalkan teori “psora” yang berkaitan dengan pembawaan penyakit dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Beberapa tahun kemudian isterinya Johanna meninggal dunia dan Dr. Hahnemann sudah hampir pada detik-detik persaraan daripada mengamal homeopati. Hidupnya mekar semula dengan kehadiran Melanie D’Hervilly yang datang untuk mendapatkan rawatan homoeopati daripada beliau. Pada waktu itu, beliau sudah begitu terkenal sebagai orang yang mengasas homoeopati.
Pada Januari 1835, Dr. Hahnemann mengahwini Melanie yang pada waktu itu berusia dalam lingkungan 30 tahun. Sedangkan usia Dr. Hahnemann di waktu itu sudah hampir 50 tahun lebih tua daripadanya.
Hanya kira-kira tiga bulan sebelum beliau menyambut hari jadinya yang ke 80, Dr. Hahnemann telah dipilih sebagai “Honorary Member of the North American Academy of Homoeopathy” berpusat di Allentown, Pennsylvania. Ia merupakan kolej homoeopati yang pertama didirikan di Amerika Syarikat oleh Dr. Constantine Hering, iaitu salah seorang daripada sahabatnya yang sama-sama berjuang menegakkan sistem perubatan homoeopati.
Kejayaan rawatan beliau yang ditambah dengan dorongan dan promosi daripada isterinya sendiri menyebabkan amalan homoeopatinya terkenal sekali sampai ke England, Peranchis, Eropah dan ke seluruh dunia. Sementara penentangan daripada kalangan doktor allopati menurun dengan mendadak pada awal 1840an. Dan akhirnya, pada 2hb Julai 1843 Dr. Hahnemann telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau pergi setelah bergelut dengan pelbagai tragedi dalam memperjuangkan perubahan dan mengembangkan sistem perubatan homoeopati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih ulasan anda,saya akan berusaha membalas setiap ulasan dengan kemampuaan tenaga dan fikiran yang sebatas.