Khamis, 13 Ogos 2009

Apa itu SARS?

SARS DAN RAWATAN HOMEOPATI
Apakah itu SARS?
SARS ialah sindrom pernafasan akut yang teruk. Ia merupakan singkatan bagi Severe Acute Respiratory Syndrome. Ia dikatakan sebagai satu bentuk pneumonia yang teruk yang dipercayai ditemui buat pertama kalinya di Asia Tenggara lewat bulan Februari 2003. Hasil penyelidikan juga mendapati simptom-simptom SARS menyamai wabak radang paru-paru yang melanda wilayah Guangdong, China pada September 2002.
Di manakah wabak ini tersebar?
Setakat ini dikenalpasti bahawa China mencatat jumlah kes tertinggi dengan korban nyawa yang besar, diikuti oleh Hong Kong. Negara-negara lain yang dikenalpasti terdapat jangkitan SARS adalah Hanoi (Vietnam), Taiwan, Toronto (Kanada) dan Singapura. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah terdapat lebih 1,800 kes SARS. Sekitar 4% daripada mereka yang dijangkiti SARS menempah maut. Para ahli sains masih berusaha mencari punca SARS. Mereka percaya ia disebabkan oleh virus. Kini mereka memberi fokus kepada dua jenis virus yang dikatakan menyebabkan SARS mudah dijangkiti.
Apakah simptom utama SARS?
Dalam kebanyakan kes SARS, pesakit akan menunjukkan simptom-simptom seperti demam panas yang kuat (>38°C or 100°F), sesak nafas yang teruk dan simptom-simptom yang menyerupai flu. Termasuk batuk, rasa pening, tegang otot, hilang selera makan, ruam dan cirit birit. Ada juga laporan yang menyatakan pesakit mungkin mengalami penurunan platelet darah dan sel darah.
Tetapi biasanya demam muncul dahulu bersama dengan sakit-sakit otot, seram sejuk dan batuk jenis kering. Selepas 3 atau 4 hari, masalah pernafasan menjadi semakin teruk. Lebih kurang 80% hingga 90% mereka yang dijangkiti mulai pulih selepas 6 atau 7 hari. Bagaimanapun, 10% hingga 20% cenderung mendapat masalah kesukaran bernafas yang teruk dan mungkin memerlukan bantuan mesin untuk bernafas. Risiko kematian lebih tinggi di kalangan kumpulan ini, dan ada kemungkinan mempunyai kaitan dengan keadaan kesihatan pesakit sebelum ini. Mereka yang berumur melebihi 40 tahun lebih cenderung mendapat masalah pernafasan yang teruk ini.
Dalam perubatan homeopati, selain simptom utama itu kita memberi lebih perhatian kepada simptom individu. Simptom yang dizahirkan oleh individu sememangnya boleh berbeza dengan individu yang lain dan ini penting bagi kami membuat pemilihan penawar.
Adalah difahamkan masih belum ada penawar bagi SARS?
Memang betul. Ini adalah kerana dalam rawatan moden mereka perlu mengetahui punca atau penyebabnya dengan tepat. Antibiotik sudah tentu langsung tidak berkesan kerana SARS bukan berpunca daripada bakteria. Penawar pencegahan antvirus yang ada pula tidak dapat memberi kesan yang memuaskan.
Di dalam akhbar MMA ada menyatakan bahawa tiada ubatan tradisional yang boleh menyembuhkan SARS. Bagaimana dengan homeopati?
Setakat ini kenyataan itu adalah wajar. Tetapi kita tidak harus menolak kemungkinan sumbangan bahan-bahan yang terdapat dalam ubat-ubat tradisional itu boleh membantu. Tetapi hal ini perlu melalui siri kajian yang terperinci.
Khazanah penawar-penawar perubatan homeopati memang banyak dan beberapa penawar yang mempunyai simptom yang serupa boleh digunakan dengan berkesan bagi merawat pesakit SARS. Pesakit boleh sembuh kalau simptom-simptom yang dizahirkannya menyerupai simptom-simptom penawar kerana penawar yang diberikan itu akan menjadi penawar similimum. Sebaliknya, jika similimum tidak ditemui, rawatan itu akan kurang berkesan.
Ini juga bermakna tiada seorang pengamal homeopati boleh mendakwa bahawa dia mempunyai penawar SARS. Tidak ada penawar bagi penyakit SARS dalam perubatan homeopati. Yang ada ialah penawar bagi pesakit yang mempamerkan simptom-simptom yang serupa dengan penawar.
Apakah nasihat yang wajar diberikan kepada masyarakat awam?
Oleh kerana pakar-pakar kesihatan yakin virus tersebut boleh berjangkit menerusi batuk, bersin dan cecair hidung orang yang dijangkit, wajarlah orang ramai mengelakkan diri daripada berada di persekitaran mereka yang disyaki dijangkit virus tersebut. Seperti yang dimaklumkan di dalam akhbar, ini khususnya merujuk kepada mereka yang baru pulang dari lawatan ke luar negara terutama China, Hong Kong, Canada dan Singapura.
Selain itu, tidak wajar sekali isu ini menimbulkan keadaan panik di kalangan masyarakat awam. Demikian juga pada para jururawat, doktor dan kakitangan hospital. Pesakit yang mempamerkan simptom-simptom ini harus dianggap sebagai pesakit dan dilayan seeloknya. Di samping usaha-usaha melindungi diri, mereka yang disyaki boleh dikuarantinkan secara baik
Daripada laporan akhbar, di Malaysia sudah ada satu jawatankuasa kebangsaan SARS yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng. Ini dilakukan walaupun belum terdapat sebarang kes pesakit yang positif SARS. Adalah difahamkan bahawa beberapa orang telah dikenalpasti mempunyai tanda-tanda SARS dan diberikan rawatan rapi di hospital kerajaan dan swasta. Dalam menangani mereka yang mempunyai simptom hampir sama dengan SARS (tetapi bukan sebenarnya masalah SARS) inilah yang kerapkali menimbulkan kekecohan di hospital atau klinik.
Jadi sekali lagi saya ingatkan. Jangan panik.
Kalaulah homeopati boleh membantu, apakah agaknya penawar-penawar yang boleh digunakan?
Antaranya ialah Aconitum napellus, Arsenicum album, Baptisia, Belladonna, Bryonia, Ignatia, Kali bichromicum, Mercurius dan Natrum mur. Dan ia seharusnya dipreskripsi berasaskan keserupaan simptom oleh pengamal yang mahir.
Anda boleh mencuba kuiz ini dan hantarkan kepada homeohbi@yahoo.com. Siapa yang mendapat 85% betul akan menerima sebuah buku homeopati keluaran kami percuma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih ulasan anda,saya akan berusaha membalas setiap ulasan dengan kemampuaan tenaga dan fikiran yang sebatas.