Khamis, 13 Ogos 2009

Pengamal hebat Homeopati

Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969)


Sila klik gambar
sumbangan
Mohd Fadli Ghani,
2005

Dr. Burhanuddin dilahirkan pada 29hb November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Taiping, Perak. Ayahnya berasal dari Minangkabau, Indonesia. Kehadirannya di bumi bertuah ini memberi sumbangan bermakna kepada politik Malaysia justeru beliau terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan sejak sebelum pendudukan Jepun.
Dalam bidang perubatan homeopati, beliau merupakan lulusan Medical Doctor of Homoeopathy (M.D.H) dari Ismeliah Medical College, Hydrabad, India. Selain itu, beliau juga menerima ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada. Beliau juga merupakan ahli International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association (H.P.A., London).
Di kalangan masyarakat homeopati di Malaysia beliau dikenali sebagai orang Melayu pertama yang belajar homoeopati dan bertanggungjawab memperkembangkannya pada dekad-dekad awal. Meskipun beliau dikatakan telah mempraktikkan ilmu perubatan homoeopati sejak tahun 1930an lagi, namun beliau terlalu sibuk dengan agenda politik semasa. Kerana itulah, hanya pada tahun 1953 atau 1954 baru beliau beroleh kesempatan mendidik pelajar perintis homoeopati.
Selepas merdeka pada tahun 1957, beliau melangkah ke hadapan dalam kerjaya politik apabila memenangi kerusi parlimen bagi tahun 1959-1964. Di waktu itu beliau mengusaha penubuhan persatuan homeopati yang pertama di Malaysia. Persatuan homeopati itu didaftarkan pada 1962 dan dikenali sebagai Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysian Homoeopathic Medical Association) atau PPHM. Pada masa yang sama beliau dilantik sebagai presiden persatuan yang pertama.
Selain bijak dan petah berucap, Dr. Burhanuddin juga mahir menulis. Beliau banyak menyumbangkan hasil tulisan baik dalam bidang politik maupun homoeopati. Banyak artikel yang ditinggalkan beliau. Sebahagian daripada tulisan itu telah diterbitkan, khususnya mengenai politik. Buku-buku homeopati beliau telah disalin dan diperturunkan kepada kerabat homeopati dari generasi pertama, tetapi malangnya tiada satupun diterbitkan. Sedangkan karyanya mengenai falsafah homeopati, materia medika dan biokimia merupakan rujukan utama dalam bahasa ibunda bagi para pelajar homeopati di Malaysia untuk dua dekad yang pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih ulasan anda,saya akan berusaha membalas setiap ulasan dengan kemampuaan tenaga dan fikiran yang sebatas.